Monday, December 6, 2010

..sambungan ♥ Kisah Cinta 1 ♥ :: Siapakah Pemuda Itu...?



    Tanpa berfikir panjang, Ayu cepat-cepat mengejar bas yang mula bergerak jauh dari tempat dia berdiri tadi tetapi apa kan daya, tenaga perempuannya itu tidak terdaya memberhentikan bas yang semakin meninggalkannya. Air mata Ayu tidak dapat diseka lagi dan menyebabkan orang sekeliling yang melihat keadaannya tertanya-tanya mengapa wanita yang ada di depan mereka teresak-esak menangis seolah-olah ada sesuatu yang melukai hati wanita itu.

***

Ayu tidak dapat tidur lena. Bermacam-macam persoalan yang bermain di mindanya. "Siapa dia? Mengapa aku menangis tatkala melihat dia?", bertalu-talu soalan diajukan kepada dirinya namun satu pun tidak terjawab. Dia tertidur.

Esoknya, dia meminta izin ibu dan ayahnya untuk menumpang rakan sekerjanya yang juga rakan sekampusnya dulu untuk ke pejabat bersama-sama dengan alasan dia tidak perlu lagi pergi dan pulang dari kerja keseorangan seperti sebelum ini. Kedua-dua ibu bapanya itu hanya membenarkan sahaja anak kesayangan mereka berbuat demikian. Tambahan pula mereka tidak senang membiarkan anak mereka itu balik kerja keseorangan lebih-lebih lagi Ayu itulah satu-satunya anak perempuan tunggal mereka. Walau bagaimanapun, Ayu mempunyai rancangan lain. Baginya, memandu kereta sendiri bukan satu masalah tetapi oleh kerana dia ingin berjumpa dengan pemuda semalam, maka dia terpaksa meminta pertolongan daripada kawan baiknya itu, Lina (bukan nama sebenar).

Rimas Ayu memerhatikan jam yang tergantung di dinding pejabatnya. "Bilalah waktu pejabat nak habis agaknya?", kata Ayu dengan nada mengeluh. Tidak pernah dia berkeluh kesah tentang tempoh masa di pejabat kerana bagi Ayu, masa pejabat adalah masa yang paling disukainya. Dia merasakan suatu kepuasan sekiranya dia dapat menghabiskan kebanyakan masanya di pejabat sahaja. Wanita bekerjayalah katakan.

"Yahuu..!!" Berseri-seri wajah Ayu apabila jam menunjukkan tepat pukul 5 petang. Lina pun hairan dengan kawan baiknya tu kerana paling awal pun Ayu akan balik pada pukul 6 petang dan paling lewat pula pada pukul 10:30 malam. Lina malas nak bertanya lebih kepada Ayu dan yang dia tahu, dia perlu menghantar Ayu ke perhentian bas semalam, tempat Ayu terjumpa pemuda misteri yang diceritakan Ayu kepadanya malam tadi.

Selepas 5 minit memandu ke tempat yang diwar-warkan oleh Ayu, Lina menurunkan kawannya itu. Walaupun Lina mahu menunggu Ayu, tetapi tindakannya dibantah keras. Bagi Ayu, dia tidak mahu menyusahkan sahabatnya itu. Lina hanya menuruti kemahuan Ayu tetapi dalam masa yang sama cuba mengingatkan Ayu supaya menelefon dia selepas sampai ke rumah. Ayu angguk setuju.

Kawasan perhentian mula dipenuhi dengan orang-orang yang balik dari kerja. Walaupun keadaan agak sesak, tetapi Ayu tetap menunggu dengan sabar. Agak-agaknyalah, dapatkah Ayu berjumpa dengan pemuda misteri semalam?

No comments:

Post a Comment

♥ IRAMA DAN LAGU ♥